MEMBELI pakaian baru memang menyeronokkan,
apatah lagi ia memenuhi selera serta menepati fesyen terkini. Namun, dalam
keghairahan itu, pernahkah kita terfikir cara untuk memastikan pakaian tahan
lama? Penjagaan pakaian perlu diberi penelitian terperinci. Sekadar menjaga
aspek pembersihan atau kaedah mencuci bagi mengelak pudar, tidak mencukupi.Seperkara
lagi, tidak semua pakaian boleh dicuci mesin. Sebaliknya, ada banyak `pantang
larang' yang harus dititikberatkan dalam aspek penyimpanan, jenis cucian dan
faktor suhu. Haba persekitaran boleh menjadi faktor untuk pakaian tahan lama.Ditambah
lagi, jenis fabrik yang pelbagai seperti kain kapas, nilon, sutera dan shifon
memerlukan perhatian lebih dari segi penjagaan. Justeru, dilampirkan lima tip
untuk menjaga pakaian sekali gus memastikan material koleksi pakaian kesayangan
bertahan lama.
1 MENCUCI
SELEPAS membasuh dan mengeringkan pakaian,
jangan biarkan ia dibiar terperap lama dalam mesin, sebaliknya teruslah dijemur
di bawah cahaya matahari. Pakaian yang dibiar terperap dipercayai menyumbang
kepada pertumbuhan bakteria. Selain fabrik mudah mereput, baju yang dibiar
terperap akan berbau hapak dan lembap. Teliti juga soal penggunaan pencuci
pakaian yang secara tidak langsung memberi kesan kepada warna fabrik.
2 JEMUR.
RAJIN-RAJINLAH menjemur pakaian terutama di
ruang terbuka. Seeloknya biarlah pakaian dijemur di bawah cahaya matahari yang
dipercayai dapat memberi pakaian `bernafas' dan kering sepenuhnya. Pakaian yang
tidak kering sepenuhnya secara tidak langsung memberi kesan jangka panjang
kepada fabriknya.
3 LIPAT.
USAH biarkan pakaian berlonggok tanpa
dilipat. Dengan melonggokkan saja pakaian, ia akan akan menambahkan renyuk dan
lebih sukar untuk digosok. Apabila pakaian dilipat, kuranglah kerja-kerja
menggosok yang sukar.Andai malas untuk melipat, lebih baik gantungkan pakaian
supaya tugas menggosok lebih mudah.
4 GOSOK.
ELAK menggosok pakaian dalam keadaan lembap
atau belum cukup kering kerana ia memberi kesan kepada fabrik. Selain pakaian
terdedah kepada suhu panas melampau, warna dan kualiti pakaian mudah terjejas
jika dilakukan berulang kali.
5 `REHATKAN' BAJU.
KEDENGARAN agak lucu tetapi lebih baik jika
pakaian tidak disarung berulang kali bagi mengelak ia cepat rosak atau mungkin
kenalan perasan anda mengenakan baju sama. Kitaran dua atau tiga minggu untuk
persalinan dipakai semula mungkin baik diamalkan terutama pakaian pejabat.
No comments:
Post a Comment